FIRAUN!!!!!!!!!
Kisah Ramsis II
Setelah sepuluh tahun Nabi Musa berbakti kepada Nabi Syuib di Madyan, Baginda mengambil keputusan kembali ke Mesir bersama isterinya, Siti Sapura sehingga tiba di Semenanjung Sinai. Ketika itu, Bani Israel masih menyembah berhala.
Bukit Sinai atau Bukit Musa (Jabal Musa) menjadi saksi kepada peristiwa penting dalam kehidupan Nabi Musa. Di situ, Baginda bermunajat kepada Allah seterusnya menerima wahyu melalui percakapan secara langsung dengan Allah kerana itu Nabi Musa digelar Musa Kalamullah.
Di bukit itu juga Nabi Musa menerima syariat untuk panduan umatnya. Baginda dilantik menjadi rasul bagi menghapuskan kepercayaan masyarakat Mesir yang menyembah tuhan Ra’ dan Amun.
Bukit Musa juga mengimbas sejarah Nabi Musa merayu kepada Allah untuk diperlihatkan Zat-Nya. Peristiwa itu diceritakan dalam ayat 143, surah al-A’raf yang bermaksud: “Tatkala Musa datang pada waktu yang Kami tentukan itu dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu. Allah berfirman: Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu. Maka jika dia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku. Selepas Tuhannya menampakkan (sebahagian daripada nur-Nya) kepada gunung itu, (maka) kejadian itu menjadikan gunung itu hancur lebur dan Musa pun jatuh pengsan. Setelah Musa sedar semua, dia berkata: Maha Suci engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu dan akulah orang yang pertama beriman (pada zamanku).”
Dakwah anbia adalah seruan kepada umat supaya tidak menyekutukan Allah. Demikian juga dakwah Nabi Musa kepada Bani Israel, masyarakat dan pemerintah Mesir ketika itu. Tidak dinafikan tanggungjawab itu berat bagi Nabi Musa kerana orang yang hendak diseru kepada jalan kebenaran ialah Firaun yang sangat degil.
Nabi Musa memohon kepada Allah supaya diutuskan saudaranya Nabi Harun yang fasih berkata-kata untuk menyokong serta menguatkan dakwahnya menghadapi Firaun dan permintaan itu diperkenankan Allah. Kemunculan Nabi Musa adalah rahmat bagi kaum Bani Israel yang diperintah Firaun yang kejam.
Sementara Firuan pula bukan calang-calang manusia kerana mendengar namanya sudah cukup untuk membuatkan rakyat Mesir berasa cemas dan gementar.
Firaun masih terus berdegil walaupun Nabi Musa sudah menunjukkan mukjizat tongkatnya melawan ahli sihir mereka. Apabila sihirnya kalah dalam pertarungan menentang Nabi Musa dan akhirnya mereka beriman kepada Allah, Firaun berkata: “Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan berselang, kemudian aku akan mensalib kamu semuanya.” (Surah al-A’raf, ayat 124)
Begitu juga apabila Allah menurunkan azab berupa kemarau dan kekurangan buah-buahan supaya Firaun dan pengikutnya insaf. Namun selepas Allah menghilangkan bencana itu, mereka menganggap ia disebabkan sial malang Nabi Musa dan pengikutnya.
Seperti yang diduga Nabi Musa sejak awal, berdakwah kepada Firaun bukan tugas mudah, malah Baginda dituduh sebagai orang gila. Firaun enggan mengakui keesaan Allah walaupun selepas Nabi Musa mempertontonkan mukjizatnya. Firaun lebih rela mati mempertahankan sikap bongkaknya daripada mengakui kesilapan sendiri.
RAMSIS adalah Firaun ketiga daripada dinasti ke-19 yang dilahirkan pada 1303 Sebelum Masihi dan ditabalkan sebagai Raja Mesir purba ketika berusia 24 tahun. Beliau digelar Ramsis yang Agung kerana dipercayai firaun paling lama hidup dan memerintah.
Ramsis II terkenal sebagai firaun yang membina banyak monumen. Beliau yang mengaku dirinya tuhan mengarahkan rakyat membina patung dan obelisk bagi menggambarkan kehebatan kuasanya. Ramsis II juga terkenal mempunyai lapan isteri, tidak termasuk dayang sebagai gundik.
Tiga isteri beliau adalah anaknya sendiri, manakala seorang adalah saudara perempuannya. Firaun Ramsis II dikatakan mempunyai 198 anak.
Firaun yang memusuhi Nabi Musa adalah Firaun yang paling banyak membina monumen dan sebahagian besarnya sudah binasa.
Al-Quran tidak menyatakan nama Firaun yang hidup sezaman Nabi Musa, namun ada pihak percaya Firaun yang dimaksudkan itu adalah Ramsis II berdasarkan sejarahnya yang mempunyai banyak persamaan dengan kisah Firaun yang disebut dalam al-Quran.
Ramsis II adalah Firaun yang zalim dan menyeksa Bani Israel di Mesir. Kekuasaannya menggambarkan dia adalah tuhan dan rakyat harus patuh kepada kehendaknya.
Ramsis II yang tidak mempercayai ajaran dibawa Nabi Musa membina pelbagai monumen tinggi untuk melihat Allah tetapi usaha itu sia-sia. Oleh itu, beliau mengarahkan rakyat membina patungnya seolah-olah dia mengatasi segala kekuasaan termasuk Tuhan Musa.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan Firaun pula berkata: Wahai Hamaan. Binalah untukku sebuah bangunan yang tinggi, semoga aku sampai ke jalan yang aku hendak menujunya iaitu ke pintu langit supaya aku dapat melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta. Demikianlah dihiasi oleh syaitan kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik serta ia dihalangi dari jalan yang benar dan tipu daya firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan.” (Surah al-Mukmin, ayat 36)
Ramsis II mendirikan obelisk atau pasak melebihi 30 batang di setiap pelosok Mesir dihiasi tulisan memujanya sebagai tuhan. Firaun tidak mahu rakyat lupa kepada kehebatannya, lantas menghantar obelisk ke setiap wilayahnya yang luas.
Dia mahu rakyat setiap masa dan di mana saja memujanya walaupun pusat pemerintahannya terletak jauh di Luxor. Dia berpendapat, kuasanya tidak padam selagi monumen ciptaannya tegak di seluruh Mesir.
Ramsis II menunggu musim banjir bagi menghanyutkan batu granit yang dipahat dengan ukiran dirinya ke seluruh wilayahnya. Berbanding monumen Firaun lain yang sudah musnah, monumen Ramsis II dapat dilihat hingga ke hari ini – dibiarkan Allah untuk menceritakan kekuatan Ramsis II yang menyertai pelbagai peperangan bagi meluaskan kekuasaannya di muka bumi.
Antara tinggalan Ramsis II yang masyhur ialah monumen Ramesseum terletak di selatan Mesir. Satu lagi monumen kebesaran Ramsis II ditemui di Abu Simbel, terletak 1,200 kilometer di selatan Kaherah.
Ia adalah kemuncak penghormatan Firaun itu kepada tuhan Mesir kuno. Ramsis II menganggap matahari sebagai tuhan lantas membina monumen menghadap terbitnya fajar sebagai simbol mengagungkan matahari.
NEFERTARI adalah seorang daripada isteri Firaun Ramsis II. Bagaimanapun bilangan sebenar permaisuri Ramsis tidak diketahui tetapi beliau mempunyai lapan isteri rasmi, tidak termasuk dayang istana yang dijadikan gundik.
Lebih menggemparkan Ramsis II turut mengahwini anaknya sendiri iaitu Bent-anat, Meritamon dan Nebettaui, juga adik perempuannya Henutmira.
Kematian Nefertari adalah satu kehilangan besar buat Ramsis II. Sebagai penghormatan terakhir, Ramsis II membina makam indah memaparkan watak Nefertari berdampingan dengan tuhan Mesir kuno sebagai simbol kemuliaan.
Lukisan yang menghiasi setiap sudut makam permaisuri kesayangan Ramsis II diiktiraf ‘Egyptologist’ atau pakar sejarah Mesir kuno sebagai yang terbaik dalam era Firaun. Tidak ada makam di Mesir yang boleh dibandingkan dari segi keindahan dan nilai artistik lukisan di makam itu.
Secara langsung ia menggambarkan betapa tingginya imaginasi dan kemahiran golongan artis dan karyawan ketika era Firaun Ramsis II.
Berdasarkan kepercayaan Mesir kuno, Hathor adalah isteri kepada Ra’, tuhan matahari. Tujuan Ramsis II mengaitkan Hathor dengan nama isterinya, Nefertari adalah semata-mata untuk meletakkan Nefertari di tempat paling mulia.
Jika Nefertari dan Ramsis II meneruskan tradisi penyembahan tuhan Mesir kuno, seorang daripada isteri Ramsis II dipercayai beriman kepada Allah SWT. Permaisuri yang dimaksudkan adalah Asiah atau Asit.
Persamaan nama di antara Asit dan Isitnofret, isteri Ramsis II menarik perhatian banyak pihak. Malah, ada yang percaya Isitnofret adalah Asit atau Asiah yang beriman kepada ajaran Nabi Musa.
Kisah isteri Firaun yang beriman diceritakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan kepada orang mukmin iaitu perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: Wahai Tuhanku, binalah untukku sebuah rumah di sisimu di dalam syurga dan selamatkanlah daku daripada firaun dan perbuatannya yang kufur dan buas, serta selamatkanlah daku daripada kaum yang zalim.” (Surah at-Tahriim, ayat 11)
Kezaliman Ramsis II tiada batasnya sehinggakan dia sanggup membunuh isterinya sendiri kerana beriman kepada Allah SWT. Beliau akhirnya menyeksa Asiah hingga mati. Meskipun ketika saat ajalnya hampir tiba, bibir Asiah masih mampu mengucapkan kalimah mengagungkan Ilahi.
Kebencian Ramsis kepada Asiah belum berakhir. Firaun itu mengarahkan nama Asiah dan semua catatan yang merujuk kepada permaisurinya itu dipadamkan dalam lipatan sejarah.
Ramsis II meninggal pada 1213 Sebelum Masihi pada usia 90 tahun selepas memerintah selama 67 tahun.
Perdebatan mengenai Firaun yang memerintah Mesir ketika Nabi Musa. Bagaimanapun, ahli sejarah berpendapat Firaun yang dimaksudkan adalah Ramsis II. Proses pengawetan mayat Firaun dan pembesar Mesir yang dilakukan sejurus selepas kematian mereka menggunakan garam natron dilakukan selama 40 hari sehingga air di dalam badan kering sepenuhnya.
Rempah dan minyak juga digunakan bagi menghilangkan bau. Bahan digunakan bukan saja didapati di Mesir, bahkan dibawa daripada Afrika dan Asia.
Melihat kepada kedudukan kedua-dua tangan mumia Ramsis II yang agak pelik, sesetengah sarjana berpendapat, proses mengawet mayat Ramsis II dilakukan selepas bertahun-tahun kematiannya.
Sumber: http://www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment