HUKUM MENGUCAPKAN TAKZIAH
Takziah dari segi istilah bererti menyuruh seseorang dengan bersabar dan mendorongnya dengan pahala yang dijanjikan, memperingati daripada dosa, mendoakan bagi si mati dengan keampunan dan mendoakan bagi orang yang terkena musibah dengan mendapat penggantinya. (Mughni al-Muhtaj: 1/481)
Sudah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat untuk menziarahi keluarga si mati atau orang yang terkena musibah. Amalan ini amatlah digalakkan oleh Islam.
Hukum Takziah
Takziah itu sunat diucapkan kepada mereka yang ditimpa musibah, sebagaimana Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya : "Tiadalah seorang mukmin yang mengucapkan takziah pada saudaranya yang ditimpa musibah, melainkan Allah s.w.t. memberikannya pakaian daripada pakaian kehormatan di hari qiamat." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Adapun takziah itu sunat diucapkan kepada ahli keluarga musibah pada keseluruhannya, sama ada terdiri daripada orang dewasa lelaki dan perempuan atau pun kanak-kanak yang berakal. Akan tetapi tidak boleh mengucapkan takziah itu kepada perempuan yang muda melainkan sesamanya perempuan, suami atau pun mahramnya. Ini kerana ditakuti akan mendatangkan fitnah.
Waktu Dan Jangka Masa Takziah
Sunat mengucapkan takziah kepada ahli keluarga musibah sebelum dan selepas menguburkan si mati. Adapun lebih afdhal mengucapkan takziah itu selepas menguburkan si mati kerana kesibukan ahli keluarga pada menguruskan mayat si mati. Berlainan halnya jika ahli keluarga itu terlalu sedih dan resah sebelum dikuburkan mayat tersebut, maka afdhal didahulukan takziah itu bagi menghilangkan kesedihan dan keresahannya.
Ucapan takziah kepada ahli keluarga musibah itu, hendaklah tidak melebihi kira-kira tiga hari lebih kurang. Kerana dalam jangka masa tiga hari itu, ahli keluarga musibah pada kebiasaannya hati mereka sudah mula tenang dan tidak merasa sedih dan resah lagi. Makruh mengucapkan takziah kepada ahli keluarga si mati selepas berlalunya tiga hari agar tidak menimbulkan lagi kesedihan mereka. Jika salah seorang di antara orang yang mengucapkan takziah dan orang yang diucapkan takziah itu tidak ada pada masa tersebut, maka harus diucapkan takziah itu selepas tiga hari.
Menyediakan Makanan Bagi Ahli Keluarga Si mati
Sunat bagi jiran dan kaum kerabat yang jauh menyediakan makanan untuk ahli keluarga si mati, sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda kepada ahlinya ketika mendapat khabar kematian Saiyidina Ja'far bin Abi Thalib: yang maksudnya : "Kamu buatkanlah makanan bagi keluarga Saiyidina Ja'far, sesungguhnya telah didapati mereka itu kesibukan (atas kematian Saiyidina Ja'far)." (Hadis riwayat Tirmidzi)
Haram menyediakan makanan kepada orang yang meratapi si mati, seperti perempuan yang meraung menangis sambil menampar-nampar pipinya dan merobek-robek pakaiannya. Ini kerana orang yang menyediakan makanan untuk orang yang meratapi itu bekerjasama dalam maksiat. (I'anah At-Thalibin: 2/165)
Adapun bagi ahli keluarga si mati itu sendiri adalah makruh menyediakan makanan dan mengumpulkan orang ramai bagi menjamu jamuan itu, kerana ia boleh menambahkan lagi kesedihan, kesibukan di samping menguruskan jenazah dan ia juga boleh menyerupai perbuatan orang jahiliah dan perbuatan ini juga adalah bid'ah makruhah. Sebagaimana dalam sebuah hadis daripada Jarir bin Abdillah Al- Bajaliy berkata yang maksudnya : "Kami (sahabat) mengiktibarkan berhimpun di tempat ahli keluarga si mati dan mereka (ahli keluarga si mati) membuat jamuan makanan selepas penguburan si mati: itu adalah sebagai satu niyahah (ratapan)." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Adapun jika jamuan makan yang biasa dilakukan itu bertujuan untuk mendapatkan rahmat Allah s.w.t. bagi si mati, maka tujuan itu adalah baik. Jika ahli keluarga si mati itu memberatkan diri dengan berbagai-bagai makanan dengan tujuan riak, bermegah-megah dan perkara-perkara yang boleh membawa kepada riak dan bertujuan untuk meratapi si mati, maka itu adalah perbuatan orang jahiliah.
Lafaz Takziah
Sunat ke atas orang Islam mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah.
Adapun ucapan takziah itu jika ditujukan kepada ahli keluarga yang Islam dan bagi si mati yang Islam, lafaznya adalah seperti berikut : Ertinya: "Semoga Allah membesarkan pahalamu dan kesabaranmu dan semoga Allah memberimu penggantinya."
Ucapan Takziah Bagi Orang Bukan Islam
Harus bagi orang Islam memberi ucapan takziah kepada orang bukan Islam bahkan sunat hukumnya jika mengharapkan Islamnya.
Apabila si mati orang bukan Islam dan ucapan takziah itu ditujukan kepada keluarganya yang Islam, lafaznya ialah seperti berikut : Ertinya: "Semoga Allah membesarkan pahalamu dan kesabaranmu dan semoga Allah memberimu penggantinya."
Akan tetapi haram didoakan bagi mayat orang bukan Islam itu dengan memohon keampunan baginya, walaupun ucapan takziah itu ditujukan kepada keluarga si mati yang Islam. Contoh lafaz mendoakan keampunan yang diharamkan bagi mayat orang bukan Islam itu seperti berikut : Ertinya :"Semoga Allah mengampuni si matimu."
Tidak boleh diucapkan takziah kepada keluarga yang bukan Islam bagi si mati yang Islam itu dengan mendoakannya supaya Allah membesarkan pahala keluarga yang bukan Islam itu. Kerana tiada pahala bagi orang-orang bukan Islam. Tetapi harus diucapkan takziah kepada keluarga bukan Islam itu jika si mati orang Islam dengan lafaz seperti berikut : Ertinya : "Semoga Allah mengampuni si matimu dan membaikkan kesabaranmu." (Mughni Al-Muhtaj: 1/481-482)
Manakala ucapan takziah bagi ahli keluarga bukan Islam dan si mati yang bukan Islam adalah lebih baik ditinggalkan kerana ianya mendoakan orang bukan Islam dengan berkekalan dan sentiasa dalam kekufurannya.
Sebagaimana penjelasan di atas adalah haram bagi umat Islam mengucapkan takziah kepada ahli keluarga yang bukan Islam dengan mendoakan semoga Allah membesarkan pahala mereka. Begitu juga mengucapkan bagi si mati yang bukan Islam dengan mendoakan keampunan. Kerana mendoakan orang-orang bukan Islam itu ada batasnya.
No comments:
Post a Comment