TAZKIRAH MAULIDUL RASUL
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.
Setiap kali kedatangan bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh dunia tanpa mengira muda atau tua, bangsa dan bahasa, budaya dan warna kulit, tempat dan pangkat sama mengingati kelahiran manusia agung yang membawa rahmat kepada sekalian alam yang diberi nama nabi Muhammad s.a.w. Bangsa baginda adalah arab tetapi Islam yang dibawa dianuti oleh semua bangsa bukannya terbatas kepada bangsa arab sahaja. Tempat kelahiran baginda pula di Mekah namun dakwah Islam dirasai oleh umat seluruh pelusuk dunia tanpa terhad di sekitar bumi arab sahaja. Pada diri nabi Muhammad s.a.w adalah contoh yang terbaik dari segenap segi di mana baginda adalah bapa mithali, pendakwah contoh, anggota masyarakat yang amanah dan juga pemimpin yang terbaik. Sebagai umat yang mencintai nabi Muhammad s.a.w maka tiada manusia lain yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan kita melainkan nabi yang tercinta. Tiada cara berkeluarga yang lebih bahagia melainkan apa yang diajar oleh nabi. Tiada cara berdakwah yang lebih berkesan melainkan apa yang ditonjol oleh nabi. Tiada cara bersosial yang lebih baik melainkan apa yang dilakukan oleh nabi. Tiada cara berpolitik, berekonomi dan memimpin negara yang lebih hebat melainkan apa yang ditunjukkan oleh nabi.
Maksudnya: Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia
Antara adab yang perlu dilakukan oleh kita sebagai tanda kasih dan cinta kita kepada nabi ialah :
[1] mentaati nabi dengan mengikut segala jejak langkah perjalanan hidupnya dalam urusan agama dan dunia
[2] Cinta kepada nabi dan menghormatinya lebih daripada segala yang lain
[3] Cinta kepada orang yang dicintai oleh nabi dan benci kepada orang yang dibenci oleh nabi, redha dengan apa yang diredhai oleh nabi dan marah kepada apa yang dimarahi oleh nabi
[4] Menjunjung tinggi nabi dengan berselawat kepadanya apabila disebut namanya serta mengagungkan segala sifat dan akhlak nabi
[5] Membenarkan segala apa yang diberitakan oleh nabi samada daripada urusan agama atau dunia
[6] Menghidupkan sunnah nabi, menzahirkan syariatnya serta menyampaikan dakwah Islam dan melaksanakan segala pesanan nabi
[7] Merendahkan suara ketika berada di sisi maqam nabi dan dalam masjid nabawi bagi yang berkesempatan ke sana [8] Cinta kepada ulama’ dan orang soleh serta setia kepada mereka semata-mata kerana nabi cinta kepada golongan tersebut. Kita juga mesti benci kepada orang fasik serta memusuhi mereka dengan sebab nabi benci dan memusuhi golongan ini
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
Tanda kasih dan sayang kita kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w tidak cukup sekadar memuji sifat dan perjalanan hidupnya sahaja tetapi kita mesti melaksanakan segala ajarannya yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Kegagalan dalam menghayati cara hidup yang pernah ditunjukkan oleh nabi berasaskan al-Quran menyaksikan pelbagai kerosakan dan kemusnahan yang berlaku di sekeliling kita. Jika pada masa kelahiran nabi Muhammad s.a.w, manusia berada dalam jahiliah akibat jauh daripada petunjuk wahyu Allah sehingga terkenal dengan amalan yang jahat seperti membunuh anak perempuan hidup-hidup atas alasan membawa sial maka pada hari ini akibat meninggalkan sistem al-Quran maka manusia tanpa perikemanusiaan sanggup membuang dan membunuh anak kecil yang tidak berdosa tanpa mengira jantina yang kebanyakannya lahir daripada hasil zina kesan daripada kejahilan, cara hidup bebas daripada agama. Kecurian, samun, ragut, pecah rumah semakin meningkat dan membimbangkan tanpa mengira tempat dan masa bagaikan tidak gerun terhadap hukuman yang kebanyakannya jauh daripada sistem perundangan Islam ditambah lagi dengan sikap umat Islam sendiri yang lebih yakin kepada undang-undang ciptaan manusia daripada undang-undang Allah. Adakah manusia takabbur ini yakin bahawa dia lebih hebat daripada Allah dan dia mampu melawan kuasa Allah. Tidak cukup sekadar berarak membawa sepanduk sebagai tanda cinta kepada nabi sedangkan sifat amanah yang ditunjukkan oleh baginda tidak mahu diikut yang menyebabkan masalah rasuah dan pecah amanah terus membarah sehingga menggugat keselamatan negara seperti yang terbaru laporan bahawa adanya penjualan rahsia keselamatan negara kepada negara lain selepas isu penjualan enjin jet dan kapal selam yang baru tidak mampu menyelam dan sebagainya.
Kita sentiasa diperingatkan tentang peristiwa besar terhadap diri nabi Muhammad s.a.w ketika berada dalam asuhan Halimah di mana dada Rasulullah s.a.w telah dibelah oleh dua malaikat bagi membersihkan hatinya daripada penyakit dunia dan syaitan bagi persediaan awal kepada kenabian. Hati merupakan raja segala anggota di mana jika hati baik maka manusia akan baik tetapi jika hati jahat maka manusia turut bersikap jahat. Dalam menjaga hati maka umat Islam mestilah sentiasa mengingati Allah sepanjang masa. Umat Islam yang mempunyai hati yang sentiasa ingat dan dekat kepada Allah sahaja lah yang akan diberikan pertolongan dan kemenangan oleh Allah di dunia dan akhirat manakala umat Islam yang hatinya sentiasa lalai daripada mengingati Allah maka ia mudah dikalahkan oleh musuh terutama syaitan.
عن ابن عباس رضى الله عنهما قال : قال الرسول : الشَيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ فَإِذَا ذَكَرَ الله َتَعَالَى خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ ( أخرجه البخاري مُعَلَّقًا )
Maksudnya : Syaitan itu duduk mencangkung di atas hati manusia. Apabila manusia menyebut nama Allah maka ia akan mengundur diri dan apabila manusia lalai maka ia akan membisikkan kejahatan.
Imam al-Ghazali menukilkan bagaimana berlakunya perbuatan dosa kerana didorong oleh empat faktor iaitu:
[1]Sifat Rububiyyah (sifat ketuhanan) iaitu apabila seseorang itu mengambil atau memakai sifat-sifat Tuhan seperti takabbur, sukakan pujian dan sanjungan. Pada hal sifat-sifat itu hanya layak bagi Allah SWT.
[2] Sifat Syaitaniyyah (sifat syaitan)Apabila wujud dalam diri seseorang sifat seperti hasad dengki, tipu helah dan sebagainya, kerana sifat ini boleh mendorong kepada perbuatan mungkar, maksiat dan seumpamanya.
[3]Sifat Bahimiyyah (sifat kehaiwanan) Seperti tamak haloba, memperturutkan hawa nafsu perut, menimbun harta kekayaan untuk kepuasan nafsu semata-mata dan sebagainya.
[4] Sifat-sifat Subu’iyyah (sifat kebuasan) Seperti marah, dendam, membunuh, memukul, mencaci maki orang dan seumpamanya. Semua sifat berkenaan adalah punca dan pendorong ke arah perlakuan dosa dan maksiat. Apabila ia dibiarkan bermaharajalela, maka akan rosak binasalah manusia. Dosa itu ibarat racun dalam tubuh manusia yang akan meresap ke seluruh tubuh badan dan boleh membawa maut jika tidak diubati dengan segera.
Firman Allah dalam ayat 92 surah an-Nahlu :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment