LA TAHZAN,JANGAN BERSEDIH,LA TAHZAN, JANGAN BERSEDIH, LA TAHZAN, JANGAN BERSEDIH,LA TAHZAN, JANGAN BERSEDIH, LA TAHZAN ,JANGAN BERSEDIH

CIKGU ZUL PASIR TUMBUH

CIKGU ZUL PASIR TUMBUH

Friday, April 1, 2011

HAJI TAMMATU'


Cara pelaksanaan haji Tamattu’

Jemaah boleh pilih jenis ibadat sesuai berasas kepada keadaan, kesanggupan
TIGA jenis haji dibolehkan kita memilihnya sesuai dengan keadaan dan kesanggupan kita yang berbeza-beza iaitu haji Tamattu’, haji Ifrad dan haji Qiran.
Haji Tamattu’ bermaksud mengerjakan umrah pada bulan haji dan menunaikan semua amal ibadat yang berkaitan dengan umrah. Apabila tiba waktu haji pada tahun hijrah yang sama, ia akan berihram haji pula dan menunaikan amal ibadat berkaitan dengan haji.
Sebahagian besar jemaah haji Malaysia memilih cara ini kerana tidak lama berada dalam ihram, khususnya bagi mereka yang uzur atau berlepas dengan penerbangan awal.
Cara pelaksanaan haji Tamattu’ terbahagi dua bahagian iaitu cara pelaksanaan ibadat umrah dan cara pelaksanaan ibadat haji.
1) Cara pelaksanaan ibadat umrah:
  • Sebelum berniat ihram, adalah disunatkan mandi sunat ihram dengan niat, “Saja aku mandi sunat ihram kerana Allah Taala.”
  • Memakai pakaian ihram. Bagi lelaki, sekurang-kurangnya dua helai kain lepas yang tidak bersarung seperti seluar, baju dan sebagainya dan disunatkan berwarna putih. Bagi wanita pula hendaklah menutupi semua badan kecuali muka dan tangan.
  • Sebelum berniat ihram, disunatkan mendirikan solat sunat ihram dua rakaat dan berdoa semoga Allah menerima ibadat umrah dan mempermudahkan urusannya.
  • Berniat ihram umrah sebagai rukun umrah pertama. Lafaz niatnya “Saja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala.”
  • Niat ihram itu hendaklah dilakukan di miqat atau sebelumnya (wajib umrah). Bagi jemaah haji Malaysia ada dua miqat yang berkaitan iaitu Qanul Manazil, bagi mereka yang menaiki penerbangan ke Jeddah dan terus ke Makkah, atau Bi’r Ali bagi mereka yang perjalanannya ke Madinah dulu.
  • Sebaik saja selesai niat ihram, maka diwajibkan menjaga larangan ketika dalam ihram sehingga bertahallul.
  • Disunatkan bertalbiah mulai selepas niat ihram sehingga memulakan tawaf.
  • Hendaklah melakukan tawaf iaitu mengelilingi Kaabah tujuh keliling. Ini rukun umrah kedua.
  • Selepas selesai melakukan tawaf dengan sempurna, maka hendaklah melakukan sa’ie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali sebagai rukun umrah ketiga.
  • Bercukur atau bergunting sebagai rukun umrah keempat hendaklah dilakukan selepas selesai melaksanakan sa’ie dengan sempurna. Apabila selesai bercukur atau bergunting, maka terhasil tahallul, yakni bebas daripada semua larangan ketika dalam ihram.
  • Melaksanakan susunan rukun umrah secara berturutan seperti di atas, bererti sudah melaksanakan tertib sebagai rukun umrah yang kelima.
  • Sementara menunggu hari wukuf, jemaah haji eloklah buat amalan sunat seperti mengerjakan umrah, tawaf sunat, solat berjemaah di Masjidil Haram mengikut kemampuan.
2) Cara pelaksanaan ibadat haji:
Apabila sampai masa untuk mengerjakan haji iaitu biasanya pada 8 Zulhijjah, maka jemaah yang mengerjakan haji Tamattu’ mengadakan persiapan untuk berihram haji. Pelaksanaannya seperti berikut:
  • Sebelum berniat ihram, adalah disunatkan mandi sunat ihram dengan niat, “Saja aku mandi sunat ihram kerana Allah Taala.”
  • Memakai pakaian ihram. Bagi lelaki, sekurang-kurangnya dua helai kain lepas yang tidak bersarung dan disunatkan berwarna putih. Bagi wanita pula hendaklah menutupi semua badan kecuali muka dan tangan.
  • Sebelum berniat ihram, disunatkan mendirikan solat sunat ihram dua rakaat dan berdoa semoga Allah menerima ibadat dan mempermudahkan urusan.
  • Berniat ihram haji adalah rukun haji. Lafaz niatnya, “Saja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala.”
  • Niat ihram itu hendaklah dilakukan di miqat sebagai wajib haji, iaitu di hotelnya atau Tanah Haram Makkah.
  • Sebaik saja selesai niat ihram, maka diwajibkan menjaga larangan ketika dalam ihram sehinggalah selesai bertahallul (wajib Haji).
  • Disunatkan bertalbiah mulai selepas niat ihram sehingga bertahallul awal.
  • Wukuf adalah rukun haji yang dilakukan selepas niat ihram iaitu berada di bumi Arafah walaupun sekejap selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga fajar 10 Zulhijjah.
  • Selepas selesai wukuf, jemaah bergerak menuju Muzdalifah untuk tujuan bermabit di Muzdalifah (wajib haji) dan disunatkan mengutip anak batu.
  • Melontar Jamrah al-Kubra dilakukan selepas tengah malam pada 10 Zulhijjah (Wajib Haji).
  • Bercukur atau bergunting sebagai rukun haji dan boleh dilakukan bermula selepas tengah malam pada 10 Zulhijjah.
  • Selepas melaksanakan lontaran Jamrah al-Kubra dan bercukur atau bergunting, maka terhasil tahallul awal, iaitu bebas sepuluh perkara larangan ketika ihram dan yang masih menjadi larangan ialah perkara berkaitan dengan hubungan jenis dan nikah kahwin.
  • Mabit (bermalam) di Mina wajib dilaksanakan pada malam 11 dan 12 Zulhijjah bagi jemaah yang memilih Nafar Awal. Manakala jemaah yang memilih Nafar Thani adalah wajib mabit di Mina pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah (wajib haji).
  • Melontar Jamrah al-Sughra, Jamrah al-Wusta dan Jamrah al-Kubra adalah wajib dilaksanakan pada 11 dan 12 Zulhijjah bagi jemaah yang memilih Nafar Awal. Manakala jemaah yang memilih Nafar Thani adalah wajib melontar ketiga-tiga jamrah tadi pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah (wajib haji).
  • Tawaf rukun haji hendaklah dilakukan bermula selepas tengah malam 10 Zulhijjah.
  • Sa’ie sebagai rukun haji hendaklah dilakukan selepas tawaf haji
  • Apabila sudah melakukan lontaran Jamrah al-Kubra, bercukur atau bergunting dan sudah selesai tawaf dan sa’ie, maka berhasil tahallul thani iaitu bebas daripada semua larangan ketika dalam ihram.
Mengenai tertib dalam melaksanakan rukun haji, ada banyak pilihan yang boleh disemak dalam penulisan berkaitan dengan rukun haji. Dengan terlaksananya semua perkara di atas, maka sempurnalah haji Tamattu’.
Oleh Drs Sapawi Che Mat

No comments:

Post a Comment