LA TAHZAN,JANGAN BERSEDIH,LA TAHZAN, JANGAN BERSEDIH, LA TAHZAN, JANGAN BERSEDIH,LA TAHZAN, JANGAN BERSEDIH, LA TAHZAN ,JANGAN BERSEDIH

CIKGU ZUL PASIR TUMBUH

CIKGU ZUL PASIR TUMBUH

Tuesday, June 30, 2009

Keistimewaan Bulan Rejab
Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan ulama, didapati Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” disokong oleh ulama muktabar.
Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah.
Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.
Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah S.W.T pada surah al-Taubah ayat 36 mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w menegaskan Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.
Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”
Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban.
Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.
Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.
Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab).
Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)
Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain.
Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa di bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa terbabit.
Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu darinya.”
Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman Jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab : “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.”
Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”
Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.
Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar.
Dalill yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.
Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita?
Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.
Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.
sekitar kesohihan hadis "Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanKu dan Ramadhan pula adalah bulan umatku"
Setiap kali datangnya bulan rejab, kita sentiasa di hidangkan oleh sebahagian ustaz-ustaz dalam ceramah dan kuliah mereka tentang kelebihan bulan ini. Begitu juga dengan dada-dada akhbar. Tetapi mungkin kita juga pernah terdengar suara–suara yang mempertikaikan kesahihan fadhilat bulan ini.

Di antara hadis yang sering di utarakan tentang kelebihan bulan rejab ini ialah hadis daripada Abi Said al-Khudriy yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : "Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanKu dan Ramadhan pula adalah bulan umatku". Hadis ini banyak dicatatkan dalam kitab-kitab jawi melayu. Tetapi apakah pandangan ulamak-ulamak hadis tentang kesahihan hadis ini?
Di sini saya akan menaqalkan kedudukan hadis ini pada pandangan muhaddisin (ulamak-ulamak hadis) tentang hadis ini. Pandangan para muhaddisin ini saya naqalkan daripada risalah “Izharul Ajbi Fi Bayaani Bida' Syahri Rajabi”, karangan Syeikh Aqil bin Muhammad. Antara mereka ialah :
1. Al-Iman Ibnu Jauzi. Beliau telah mengarang satu kitab yang berjudul "Al-Maudhuuat" (hadis-hadis palsu). Beliau telah memasukkan hadis ini dalam kitab beliau tersebut dan menyebut : Hadis ini adalah pembohongan terhadap Rasulullah s.a.w. jilid 2, m/s 206
2. Imam Al-Suyuti. Beliau telah mengarang kitab "Al-Laali' al -Masnu'ah Fil Ahadis al-Maudu'ah" iaitu satu kitab yang mengumpulkan hadis-hadis palsu. Beliau memasukkan hadis ini ke dalam kitab tersebut. Jilid 2 , m/s 114.
3. Al-Hafiz Ibnu Hajar. Beliau telah mengarang satu kitab yang berjudul "Tabyiinul Ajbi Bima Warada Fi Fadhli Rajabi"- (bererti menyatakan kehairanan dengan apa-apa (hadis) yang menyebut tentang fadhilat bulan rejab). Beliau memasukkan hadis ini dalam bukunya tersebut dan menyatakan bahawa hadis ini adalah palsu.
4. Al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah. Beliau juga telah menyatakan dalam kitabnya "al-Manarul Munif" bahawa hadis ini adalah palsu. m/s 95
5. Ibnu Iraq al-Kinani, pengarang kitab "Tanzihus Syari'ah", satu kitab yang juga menghimpunkan hadis-hadis palsu. Beliau memasukkan hadis ini ke dalam kitab beliau, jilid 2, m/s 92. Imam as-Soghani juga menyatakan hadis ini adalah palsu. Ini adalah antara yang disebut oleh Syeikh Aqil dalam risalah tersebut.
Antara ulamak yang menganggap hadis ini palsu ialah Imam Al-Syaukani dalam kitabnya "Al-Fawaidul Majmu'ah". Kitab ini juga adalah kitab himpunan hadis-hadis palsu. Muhammad bin Basyir al-Azhari juga menyatakan dalam muqaddimah kitabnya “Tahzirul Muslimin” tentang kepalsuan kelebihan bulan rejab ini. Kitabnya juga adalah himpunan hadis-hadis palsu. Daripada pernyataan para ulamak hadis tadi, jelaslah kepada kita bahawa palsunya hadis tentang kelebihan bulan rejab. Berkata Al-Hafiz al-Iraqiy : "Dan tidak ada satu pun hadis yang sahih mengenai fadilat bulan rejab".
Tetapi perlu diingatkan supaya janganlah kita sekali-kali berhenti beribadat dalam bulan rejab dengan sebab risalah ini, kerana itu adalah reaksi yang tidak bijak dan merugikan, sebaliknya yang perlu dihentikan hanyalah anggapan kita terhadap kelebihan bulan tersebut. Dan yang paling penting ialah janganlah kita sama-sama membuat atau menyebarkan pembohongan terhadap Rasululllah s.a.w.
Akhir sekali, saya sudahkan risalah ini dengan kata-kata Imam Nawawi: "Dan tidak ada satu hadis pun yang menunjukkan fadhilat berpuasa pada bulan rejab, dan tidak ada juga satu hadis yang melarangnya, tetapi asal hukum berpuasa adalah sunat, - yakni setiap masa –". Dan Allah sahajalah Yang Maha Mengetahui.

UMAT Islam ini berada dalam Rejab iaitu bulan yang ketujuh dalam kalendar Islam. Bagi sesetengah masyarakat Islam, mereka menganggap Rejab adalah bulan teristimewa kerana menyangka mempunyai banyak kelebihan.

Sebenarnya tidak thabit dalam hadis sahih yang menyatakan kelebihan Rejab. Cuma bulan ini termasuk dalam salah satu daripada empat bulan yang dilarang berperang padanya selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Tidak dinafikan ada beberapa hadis yang sering kita dengar dalam ceramah dan penulisan mengenai kelebihan bulan ini. Malangnya, kebanyakan hadis itu berkisar sekitar daif, palsu atau tiada sandaran. Antara hadis yang sering digunakan untuk menyatakan kelebihan bulan ini ialah: “Dalam syurga ada sebuah sungai yang bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya akan diberi minum air sungai itu.”

– Hadis ini sebenarnya bertaraf daif. Selain itu, hadis berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan, sesiapa berpuasa tujuh hari nescaya ditutup daripada tujuh pintu neraka jahanam. Sesiapa berpuasa lapan hari, nescaya dibuka baginya lapan pintu syurga.” – Taraf hadis ini juga daif.Dalam pada itu ada hadis lagi yang berbunyi “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku.” Hadis ini munkar, malah ada sesetengah ulama mengatakan ia hadis palsu, tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan.Ibnu Hajar al-Asqalani telah berusaha mengumpul mengenai kelebihan Rejab dalam kitabnya, Tabyin al-'Ajaib bima warada fi fadl Rajab. Namun menurut beliau, tiada satu pun hadis sahih yang menyatakan mengenai kelebihan dan fadilat puasa pada Rejab.Tanda daif atau palsu dalam hadis kelebihan Rejab ketara sekali, terutama apabila menjanjikan pahala yang terlalu besar bagi mereka yang berpuasa atau beribadat padanya. Ulama menyatakan, janji yang terlalu besar tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan. Hal ini menunjukkan kemungkinan hadis itu dusta atau palsu.Bagaimanapun, tiada hadis yang melarang umat Islam berpuasa pada Rejab. Oleh itu, hukum berpuasa sunat dalam bulan ini sama saja dengan berpuasa pada bulan lain, seperti puasa pada Isnin dan Khamis atau tiga hari dalam sebulan.Namun begitu, soal kethabitan atau ketulenan sesebuah hadis perlu diambil kira. Adalah tidak wajar apa saja yang dikatakan hadis terus disebarkan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) ulama hadis terhadap kedudukannya.Sebenarnya dengan penyebaran hadis palsu seumpama, akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah yang dipelihara dengan begitu baik oleh ulama Islam terdahulu.Rasulullah memberikan amaran terhadap orang yang berdusta atas namanya dengan ancaman yang berat. Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis Mutawatir.Dalam riwayat lain, Nabi menyebut: “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ancaman dalam hadis ini merangkumi segala jenis pendustaan dan pembohongan ke atas Nabi sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat atau ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).Dalam menghuraikan maksud hadis ini, Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi dan semua jenis pendustaan ke atas Baginda.”Dalam Islam, pendustaan atas nama Nabi adalah jenayah amat berat. Dimaksudkan pendustaan atas Nabi adalah menyandar sesuatu perkataan, pengakuan atau perbuatan kepada Rasulullah secara dusta. Nabi langsung tidak ada kaitan dengan perkataan, pengakuan dan perbuatan yang disandarkan kepadanya.Misalnya, menyatakan bahawa Rasulullah bersabda sesuatu yang Baginda tidak pernah bersabda, berbuat atau mengakui sesuatu yang Baginda tidak pernah melakukannya.Sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai hadis atau sunnah. Adapun menyandar sesuatu kepada Nabi secara dusta, bukanlah dikategorikan sebagai hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasarkan apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’ (palsu) atau al-Mukhtalaq (rekaan). Bukan saja membuat hadis palsu itu hukumnya haram, bahkan meriwayatkannya tanpa menjelaskan kepada pendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah haram dan berdosa. Oleh itu, semua umat Islam wajib memandang berat perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasulullah yang menjadi sumber kedua perundangan Islam selepas al-Quran. Umat Islam jangan mudah tertipu dengan dakwaan palsu yang disandarkan kepada Rasulullah, sedangkan ia tidak ada hubungan langsung dengan Baginda.Sehubungan itu, penyebaran hadis daif dan palsu mengenai kelebihan Rejab ini hendaklah dihentikan agar jangan sampai masyarakat melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala, sedangkan dosa besar pula yang diperoleh akibat menyebar dan beramal dengan hadis palsu seperti ini.
erkenaan dengan puasa di bulan rejab


Disini saya mengeluarkan pendapat2 para ulama berkenaan dengan Kelebihan puasa dibulan rejab yang di uar-uarkan...Semua kenyataan ini disertakan dengan sumber2 nya agar semua para pembaca dapat membuat rujukan.....Diharap artikel ini dapat memberikan kita kesedaran didalam mengamalkan sesuatu ibadah dalam agama Islam..sekian.
Shaikh Yusuf al-Qaradhawi:
a) Fadilat Rejab adalah sama dengan fadilat bulan-bulan haram yang lain. Beliau berkata:[4]
Tidaklah ada kesahihan (fadilat-fadilat) di dalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram yang disebut oleh Allah di dalam kitabnya (surah al-Taubah, ayat 36), iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram....Inilah bulan-bulan yang mempunyai fadilat. Tidak terdapat hadis sahih bahawa yang mengkhususkan Rejab sebagai bulan yang yang memiliki keutamaan.

b) Hadis-Hadis mengenai fadilat Rejab kebanyakannya adalah dha‘if dan maudhu’. Shaikh al-Qaradhawi menyambung:
Hadis ini dimaklumi sebagai sebuah hadis fadilat Rejab: “Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku", namun hadis ini mungkar dan sangat dha‘if, bahkan sebahagian besar ulama' mengatakan hadis ini maudhu’, yakni dusta. Maka tidak ada baginya nilai saintifik mahupun agama. Selain itu terdapat juga hadis-hadis fadilat Rejab yang menerangkan sesiapa bersolat sekian-sekian maka dia mendapat ganjaran sekian-sekian, sesiapa beristighfar sekali maka baginya sekian-sekian ganjaran…..semua ini adalah satu pelampauan dan pendustaan. Malah termasuk isyarat bahawa sesuatu hadis adalah dusta adalah bahawa ianya bersifat melampau dan berlebih-lebihan. Berkata para ilmuan, janji mendapatkan ganjaran yang besar terhadap amalan yang biasa atau azab yang berat untuk kesalahan yang ringan termasuk isyarat bahawa hadis tersebut adalah dusta.
c) Oleh itu, lanjut Shaikh al-Qaradhawi, kita sebagai orang Islam wajib mengetahui darjat hadis yang didengar atau dibaca. Tidak boleh bersikap remeh dalam hal ini kerana sudah sedia terdapat buku-buku di pasaran yang menerangkan sumber dan darjat hadis, berbanding buku-buku yang hanya mengemukakan hadis tanpa menerangkan sumber dan darjatnya.
Shaikh al-Sayid Saabiq:
Shaikh al-Sayid Sabiq dalam karyanya yang masyhur, Fiqh al-Sunnah menyebut:[5]
Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadilat yang melebihi bulan-bulan lain melainkan sesungguhnya ia daripada bulan-bulan Haram.
Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram semuanya memiliki fadilat yang sama darjatnya.
Bagaimana cara sebenar untuk beramal di dalam bulan Rejab?
Apabila ditanya, selain bulan Ramadhan, bulan apakah yang afdal untuk berpuasa, Shaikh Mutawalli al-Sya’rawi menjawab dengan mengemukakan sebuah hadis daripada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:[6]
Wahai Rasulullah! Apakah bulan yang engkau perintahkanku berpuasa selepas Ramadhan?” Rasulullah menjawab: “Jika kamu ingin berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah pada bulan Haram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah dan padanya terdapat satu hari yang terima taubat daripada satu kaum dan diampunkan padanya kaum (yang lain).”
Berdasarkan hadis ini, dianjurkan berpuasa sunat pada bulan-bulan Haram tanpa dikhususkan kepada bulan Rejab sahaja.
Shaikh Abdul Aziz bin Baz, mufti besar Arab Saudi pernah juga dikemukakan soalan yang seumpama. Beliau menjawab:[7]
Dari sudut syara’, dibolehkan berpuasa (sunat) pada bulan Muharam dan demikian juga bulan Sya’ban. Adapun berpuasa pada 10 hb Zulhijjah, tidak ada dalil ke atasnya, akan tetapi jika seseorang ingin berpuasa tanpa beriktikad bahawa ia adalah puasa yang khusus, ia tidak mengapa. Adapun bulan Allah al-Haram, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah al-Haram.” Maka apabila berpuasa pada bulan-bulan tersebut maka ia adalah baik, atau berpuasa pada 9, 10, 11 hb itu adalah baik juga, demikian juga dibolehkan berpuasa pada bulan Sya’ban.
Shaikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:[8]
Berpuasa di dalam bulan Haram adalah maqbul (diterima) dan mustahab (sunat hukumnya). Akan tetapi tidaklah diriwayatkan daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bahawa baginda berpuasa pada keseluruhan bulan-bulan Haram tersebut. Baginda hanya berpuasa penuh satu bulan (yakni) dalam bulan Ramadhan. Selain itu baginda banyak berpuasa pada bulan Sya’ban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya dalam bulan tersebut. Inilah sunnah Nabawiyah.
Pada bulan-bulan yang lain (selain Ramadhan dan Sya’ban), baginda berpuasa dan berbuka sehingga dikatakan oleh para sahabat dalam sebuah riwayat: “Baginda berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, baginda berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Maka apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia dengan berpuasa pada bulan Rejab seluruhnya sebagaimana yang kita lihat sebelum ini, malah aku telah lihat sebahagian manusia berpuasa pada bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal dan menamakannya "Al-Ayam Al-Baidh" selepas berbuka, (lalu) mereka membuat satu perayaan pada hari ke 8 bulan Syawal. Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling secara berterusan. Mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari Id (1 Syawal). Amalan seperti ini tidak datang daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mahupun para sahabat dan generasi al-Salaf al-Salih (generasi awal umat Islam).
Maka sebaik-baik puasa (sunat) ialah puasa sehari dan berbuka sehari, bukan berterusan di dalam berpuasa. Setiap kebaikan ialah pada mengikuti generasi awal dan setiap keburukan ialah pada rekaan generasi terkemudian. Barangsiapa yang ingin mengikut dan memperoleh ganjaran yang sempurna, maka ikutlah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan tidak berpuasa pada bulan Rejab dan Syaban seluruhnya. Inilah sebaik-baik (bentuk puasa sunat). Wa Billahi Tawfiq.[9]
Kesimpulan
1. Hadis-Hadis keutamaan (fadilat) bulan Rejab kebanyakannya adalah dha‘if (lemah) dan maudhu’ (palsu). Berterusan menyampaikan hadis-hadis ini adalah satu bentuk pendustaan terhadap Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.[10]
2. Kita dilarang mengkhususkan hari atau malam tertentu melainkan jika pengkhususan tersebut berasal daripada Allah (al-Qur’an) dan Rasul-Nya (hadis-hadis yang sahih).
3. Tidak ditemui dalil bahawa bulan Rejab memiliki fadilat yang khusus, yang ada cuma fadilat umum keempat-empat bulan haram.
4. Demikian juga, tidak ditemui dalil bagi melakukan solat, puasa, zikir, ziarah kubur dan sebagainya yang khusus bersempena bulan Rejab.
_____________________________________
Nota Kaki:
[1] Budiman Radzi - Fazilat bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadzan. Alor Setar: Muzakkir Enterprise, 1990.
[2] Tafsir al-Jalalain. Harf.com. (URL: http://quran.al-islam.com/arb/Default.asp)
[3] Fatwa IslamOnline - Fadilat Rejab.
(URL: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=10249)
[4] Fatwa IslamOnline - Kesahihan Fadilat Rejab.
(URL : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1308)
[5] Fiqh al-Sunnah (Beirut: Al-Fath Lil'alam Al-Arabi, 1995. Cetakan khas dari manar Al-Dauliyah), jld. 1, ms. 596.
[6] Al-Fatawa (Kaherah: Dar Al-Fath Lil-A'lam Al-Arabi, 2000), ms. 371
Sanad hadis ini dha‘if, rujuk Musnad Ahmad yang disemak oleh Shaikh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan, hadis no: 1322 (Musnad ‘Ali bin Abi Thalib). Walaubagaimana ia memiliki penguat daripada apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1163 (Kitab Puasa, Bab Keutamaan Puasa pada bulan Haram) daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, maksudnya: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah al-Haram.” (Hafiz Firdaus)
[7] Majmu' Fatawa (Riyadh: Dar Al-Watan, 1996) ms. 269
[8] Fatwa IslamOnline - Puasa Rejab
(URL: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1310)
[9] Untuk memudahkan kefahaman para pembaca, orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab boleh dikategorikan kepada beberapa kumpulan:
1. Mereka yang memperbanyakkan puasa sunat pada bulan-bulan Haram, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab tanpa melakukannya secara berterusan. Ini adalah sunnah.
2. Mereka yang berpuasa sunat Isnin, Khamis dan sebagainya dalam bulan Rejab. Mereka berpuasa sunat bukan kerana fadilat Rejab tetapi kerana hadis-hadis yang menganjurkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Ini adalah sunnah.
3. Mereka yang berpuasa sunat dalam keseluruhan bulan Rejab kerana fadilat Rejab. Ini bukanlah sunnah.
4. Mereka yang berpuasa secara berterusan daripada bulan Rejab, Syaban, Ramadhan dan enam hari bulan Syawal. Mereka tidak berhenti kecuali pada 1 Syawal. Ini bukanlah sunnah.
5. Mereka yang melarang apa-apa bentuk puasa sunat dalam bulan Rejab. Ini tidak benar. Boleh berpuasa sunat dalam bulan Rejab sebagaimana yang disebut dalam kategori pertama dan kedua di atas. Yang dilarang ialah puasa sunat kerana fadilat Rejab.
6. Mereka yang mengqadha puasa Ramadhan yang lepas dalam bulan Rejab. Ini dibolehkan selagi mana dia tidak beriktikad adalah lebih utama untuk mengqadha dalam bulan Rejab kerana fadilat-fadilatnya. (Hafiz Firdaus).
[10] Kenapakah ia satu bentuk pendustaan? Rujuk risalah berikutnya berjudul Hadis Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya.

No comments:

Post a Comment